Kementerian Utiliti bangun pelan induk sistem pengurusan air sisa

Posted on : 11 Oct 2018  Source of News: Utusan Borneo Online
 

 Abang Johari menerima cenderamata daripada Dr Rundi (dua kanan) sambil disaksikan Chang (tengah), Menteri Muda Bekalan Air Datuk Liwan Lagang (kanan) serta yang lain, semalam.PENGHARGAAN: Abang Johari menerima cenderamata daripada Dr Rundi (dua kanan) sambil disaksikan Chang (tengah), Menteri Muda Bekalan Air Datuk Liwan Lagang (kanan) serta yang lain, semalam.

KUCHING: Kementerian Utiliti kini sedang membangunkan pelan induk sistem pengurusan air sisa di Sarawak.

Menterinya Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ia bukan sahaja untuk bandar utama seperti Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu tetapi beberapa bandar lain iaitu Kota Samarahan, Mukah dan Sarikei.

“Pelan induk ini berfungsi sebagai garis panduan dalam usaha kami untuk membangunkan sistem pengurusan air sisa secara sistematik untuk Sarawak.

“Sejajar dengan pelan induk juga, kami telah memulakan kerja pembinaan dan pentauliahan sistem pembetungan berpusat di Kuching, Miri dan Bintulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan dan Pameran Air dan Kumbahan Borneo (BWWEC) 2018 yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, semalam.

Menurut Dr Rundi, sepertimana yang disyorkan dalam pelan induk, pihaknya menyediakan kemudahan rawatan kumbahan septik sebagai langkah interim di Kuching, Sibu dan Miri.

Katanya ia bagi tujuan rawatan kumbahan terkumpul dari tangki septik dan loji.

“Kemudahan rawatan kumbahan septik ini juga disediakan di bandar kecil seperti Betong, Sarikei, Kapit dan Limbang pada masa depan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata tidak seperti sektor bekalan air, penyediaan dan pengendalian sistem pengurusan air kumbahan di negeri ini masih dalam peringkat awal.

“Kita perlu melatih dan mengekalkan ramai profesional dan separuh profesional dalam bidang ini,” ujarnya.

Menurut Dr Rundi, Sarawak telah meningkatkan pengurusan sisa pepejalnya ke dalam sistem bersepadu dan moden sejak tahun 2000 yang telah memberi manfaat kepada 600,000 populasi.

Beliau berkata semua usaha itu adalah bagi melindungi sumber air negeri dan alam sekitar di mana Kerajaan Sarawak berusaha menyediakan sistem pengurusan air sisa secara holisitik di pusat-pusat bandar utama.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Air Malaysia (MWA) Cawangan Sarawak Chang Kuet Shian dalam ucapannya berkata, Sarawak perlu berinovasi dalam usaha mengetengahkan permintaan air selain untuk terus kekal relevan dalam industri.

“Dengan adanya teknologi maklumat digital saya percaya rawatan air sisa juga perlu berubah seiring dengan industri masa kini.

“Maka itu BWWEC ini amat bertepatan diadakan masa ini dan kita mahu delegasi yang hadir dapat berkongsi pengalaman serta pengetahuan mereka untuk industri air lebih mampan,” katanya.

Menurut beliau BWWEC yang bertemakan ‘Smart Water Grid Through Innovation, Partnership and Digitalization’ itu dihadiri 265 delegasi dengan menampilkan dua ucaptama.