Official CM Website
Speeches
Perutusan Ketua Menteri sempena Hari Raya Aidilfitri 2017
Deliver on 03 Jul 2017

 Sila klik disini untuk Perutusan Ketua Menteri sempena Hari Raya Aidilfitri 2017.

 

 

PERUTUSAN RADIO

YAB DATUK AMAR ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI

BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG,

KETUA MENTERI SEMPENA HARI RAYA

AIDILFITRI 2017 (1438 HIJRAH)

 

 

Allahuakhbar

Allahuakhbar

Allahuakhbar

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

 

Saudara Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

 

  1. Kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah rahmat dan hidayat-Nya kita dapat bersama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini dalam suasana aman dan damai seperti selama ini.

 

  1. Bersempena dengan hari yang mulia ini, saya dan isteri serta seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh kaum Muslimin dan Muslimat di Sarawak atau di mana sahaja yang dapat mendengar siaran ini, khususnya anak-anak Sarawak.

 

  1. Umat Islam di seluruh dunia telah berpuasa selama sebulan dan kita telah menggunakan masa ini untuk merenung apakah makna berpuasa sebenarnya. Berpuasa dalam Islam bukan hanya bermaksud menghindarkan diri daripada makan dan minum, tetapi juga melawan nafsu dan keinginan untuk mementingkan diri di samping menjauhkan diri daripada semua tindakan yang memudaratkan diri sendiri atau orang lain.  

 

  1. Sebagai umat Islam kita merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan sebagai tanda kemenangan mengharungi pelbagai dugaan selama sebulan dalam bulan Ramadhan.  Umat Islam telah menahan diri daripada lapar dan dahaga serta mentarbiahkan diri dengan mengerjakan amal ibadah sepanjang bulan Ramadan demi menunaikan kewajipan sebagai seorang Mukmin. 

 

  1. Dalam pada merayakan Aidilfitri ini kita umat Islam janganlah lupa mengenai hak-hak golongan yang memerlukan perhatian, sokongan dan bantuan kita agar mereka juga dapat sama-sama menyambut Hari Raya dengan penuh rasa kesyukuran terhadap limpah dan kurnia Allah Subhana Wa Ta'ala. Atas dasar inilah syariat mewajibkan agar setiap daripada umat Islam menunaikan zakat fitrah pada Hari Raya Aidilfitri ini.

 

  1. Saudara dan saudari sekalian,

 

Kita bersediah atas pemergian Tok Kan. Dasar-dasar people-centric Tok Nan memberi banyak keselesaan kepada rakyat sementara dasar-dasar Kerajaan pimpinan saya bertujuan memberi haluan baru kepada ekonomi Negeri Sarawak di samping memberi harapan baru kepada generasi muda kita.  Negara-negara yang maju sekarang mampu berada di hadapan kerana mereka berjaya berhijrah ke ekonomi yang berasaskan Internet.

 

Kita tidak mahu ketinggalan dan kita tidak boleh lagi hanya berpeluk tubuh menunggu bantuan datang kepada kita kerana kemajuan teknologi tidak akan menunggu kita. Oleh itu, saya berani membuat komitmen untuk berbelanja RM1 bilion daripada dana Sarawak sendiri untuk membangunkan infrastruktur Internet di seluruh Negeri Sarawak. Tanpa infrastruktur Internet yang mencukupi kita impian kita untuk membangunkan sebuah ekonomi digital tidak akan ke mana.

 

Sama-sama penting ialah setelah kita ada rangkaian infrastruktur Internet yang mencukupi kita mesti menyediakan kelajuan Internet yang cukup kuat untuk menyokong usaha kita ke arah mendigitalkan ekonomi Negeri Sarawak.

 

Saudara dan saudari Muslimin dan Muslimat sekalian,

 

  1. Saya menyeru kepada umat Islam di Negeri ini agar terus berpegang kepada kesederhanaan atau konsep Wassatiyah  dalam aspek kehidupan dan pandangan mereka. Konsep Wassatiyah adalah jalan ke arah masa hadapan yang lebih cerah untuk Umat Islam di Negeri ini dan juga untuk penganut-penganut agama lain.

 

  1. Dalam Islam, kita seharusnya sentiasa menegakkan keadilan sebagai suatu prinsip, samada untuk umat Islam atau orang bukan Islam, walaupun ia tidak berpihak kepada kita.

 

  1. Saya percaya kaum bukan Islam boleh menerima kepimpinan seorang pemimpin Islam kerana sebagai umat Islam kita sentiasa berusaha untuk memberi keadilan kepada semua, Islam dan bukan Islam. Islam menegah umatnya menidakkan hak kaum lain dalam semua bentuk, kecil atau besar.  

 

  1. Rakyat Sarawak merasa bertuah kerana negeri ini terus mampu mengekalkan keharmonian agama dan sosialnya yang telah terbina sejak sekian lama. Kita tidak bertelagah sesama sendiri mengenai agama dan hubungan sosial antara kita kerana semangat hormat-menghormati antara satu sama lain sudah menjadi budaya kita.

 

  1. Tidak dinafikan bahawa sebagai sebuah masyarakat yang pelbagai dari segi agama, budaya dan keturunan kita mempunyai perbezaan pendapat dan pandangan dalam banyak perkara dan isu. Alhamdulillah perbezaan kita selama ini dalam banyak aspek tidak menjadi benteng pemisah antara kita kerana kita mampu berbincang secara rasional dan mencari persamaan, mencari penyelesaiaan secara konsensus dan berpegang kepada sikap bertolak ansur.  

 

  1. Saya mengajak seluruh anak Sarawak, tidak kira bangsa atau keturunan untuk  sama-sama berusaha ke arah mengekalkan perpaduan dan keharmonian rakyat di negeri ini. Kita tidak akan membenarkan sesiapapun untuk meracuni pemikiran rakyat dan melahirkan perasaan hasad dan dengki antara satu sama lain. Perpecahan dan perbalahan antara rakyat kita tidak akan menguntungkan sesiapa.

 

  1. Seperti yang telah menjadi amalan rakyat berbilang kaum dan agama di Negeri ini, marilah kita merayakan hari yang mulia ini dengan semangat muhibah dan persaudaraan antara sesama umat Islam dan rakan-rakan mereka daripada keturunan dan agama lain.  Teruskanlah amalan kunjung mengunjung supaya Hari Raya menjadi lebih bermakna kepada kita semua.

 

  1. Saya dan isteri akan mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Borneo atau BCCK di Kuching pada hari pertama dan hari kedua Aidiliftri. Bagi saudara dan saudari yang berkesempatan datanglah beramai-ramai ke BCCK pada hari-hari berkenaan dari pukul 10.00 pagi hingga 4.00 petang.  

 

  1. Akhir kata, saya dan isteri serta seisi keluarga dengan seikhlas hati mengucapan “SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.  MAAF ZAHIR DAN BATIN” kepada seluruh rakyat Negeri Sarawak.

 

  1. Sekian.  Wabillahitaufiq Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Speeches By: YAB Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg