Speeches
Ucaptama Perasmian Nadwah Ulama Nusantara VIII 2018
Deliver on 25 Oct 2018

Click here for Ucaptama Perasmian Nadwah Ulama Nusantara VIII 2018 pdf files.


Ucaptama Perasmian

Nadwah Ulama Nusantara VIII 2018

Y.A.B Ketua Menteri Sarawak

 

Alhamdulillah saya ucapkan rasa syukur kehadrat Allah S.W.T kerana atas rahmat dan izinNya dapat hadir pada malam ini bagi berucap dan seterusnya merasmikan Nadwah Ulama Nusantara kali ke-8 ini.

Mewakili Kerajaan Negeri Sarawak, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Majlis Islam Sarawak dan Pusat Rantau Timur Tengah dan Nusantara, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atas kejayaan menganjurkan Nadwah pada kali ini.

Ucapan selamat datang juga saya tujukan kepada para ilmuan dan ulama dari seluruh pelusuk Nusantara ke negeri Sarawak. Sesungguhnya kedatangan tuan-tuan dan puan-puan semua ke negeri Sarawak menandakan satu penghargaan besar kepada kami selaku tuan rumah untuk menggembang serta memperteguh aspirasi  syiar Islam di bumi Sarawak, Malaysia dan juga rantau Nusantara.

Nusantara adalah rantau yang sejahtera dan penuh kemakmuran. Diliputi sekalian gugusan kepulauan Melayu dan Indonesia, Nusantara menzahirkan citra keIslamannya yang unik, tersendiri dan berbeza dari proses peradaban yang berlaku di Timur Tengah dan Dunia Arab. Sejak ribuan tahun yang lampau, Islam tiba dan diterima sebagai satu agama dan kehidupan yang tidak melalui kaedah penaklukan, kekerasan dan hunusan mata pedang. Sebaliknya Islam disampaikan melalui kegiatan dakwah dan perdagangan yang dijelmakan oleh akhlak terbilang dan suri teladan para Ulamanya yang berketurunan Arab.

Dakwah Islam disampaikan secara berhikmah menerusi penerimaan golongan Raja, Sultan dan pemerintah di serata wilayah Nusantara. Seterusnya Islam menjadi ikutan sekalian rakyat yang menurut agama yang dianuti oleh pemerintahnya. Perkembangan ini membolehkan Islam berkembang dengan pesat di Nusantara. Para ulama dijemput ke Istana pemerintah untuk menyampaikan majlis ilmu, menjadi penasihat dan seterusnya menulis karya utama sebagai garis panduan penunjuk jalan kepada pemerintah dan juga rakyat. Proses ini akhirnya melahirkan pautan yang erat antara Ulama dan juga Umarak.     

Hubungan awal ulama dan umarak ini menjadi perintis kepada proses pengislaman di Nusantara. Dari proses itu jugalah pengaruh kearaban mulai membangun dan membentuk ciri peradaban Islam Nusantara. Sesungguhnya terdapat 3 aspek penting yang menjadi teras kepada kebangkitan tamadun dan peradaban Nusantara iaitu:

i. Agama Islam 

ii. Bahasa Melayu bertulisan Jawi  

iii. Kekayaan budaya serta adat kenusantaraan

 

Inilah yang berlangsung di Nusantara apabila Islam menjadi teras dan anutan pemerintah serta rakyatnya. Maka dengan naungan Islam dari pemerintah itu, kegiatan keilmuan dan Pendidikan juga mulai berkembang. Institusi pengajian yang dikenali sebagai pondok atau pasantren tumbuh bagaikan cendawan. Lanskap kegiatan ilmu ini juga memangkin berlakunya jaringan intelektual rentas budaya dan negeri di rantau ini.

 

 

Kegiatan pemusafiran ilmu berlaku dengan pantas. Para ulama dari Acheh berkelana mencari Kiyai di Jawa. Manakala para murid dari tanah Jawa berlayar merentas samudera ke Kelantan, Kedah dan Terengganu mencari Tok Guru untuk menadah kitab. Dari Sulawesi juga mereka berkelana pula ke Sumatera mencari Pak Kiyai tersohor untuk berguru. Jaringan antara guru dan murid dari setiap destinasi Pondok dan Pesantren ini mewujudkan satu eko-sistem keilmuan yang semulajadi sifatnya di Nusantara.

 

Pada era kemuncak kegemilangannya sebagai rantau keilmuan, kegigihan para ulama di Nusantara tidak terbatas kepada banyaknya populasi pesantren dan pondok, tetapi pemusafiran mereka ke Mekah dan Mesir bagi menuntut ilmu adalah satu pencapaian yang sangat signifikan dalam pembentukan peradaban dan tamadun di rantau ini. Hasil kegiatan inilah yang menjadikan ulama Nusantara sebagai sumber inspirasi kepada pembinaan dan pembangunan tamadun.

Ini terbukti apabila para Ulama kelahiran Nusantara bukan sahaja menjadi penuntut di Mekah tetapi mereka juga berjaya menjadi Tuan Guru tenaga pengajar di Masjidil Haram Mekah. Nama-nama besar seperti Tok Kenali dari Kelantan, Syeikh Abdullah Fahim dari Pulau Pinang dan Syeikh Uthman Abdul Wahab dari Sarawak adalah contoh betapa anak Nusantara menjadi gemilang di Timur Tengah.

Kejayaan peradaban dan ketamadunan Islam di Nusantara diukur kepada pencapaian 3 aspek utama iaitu Islam sebagai agama teras penduduk serantau, Bahasa Melayu beraksara jawi sebagai medium lingua franca yang ditemui dalam karya-karya klasik utama dan terserlahnya kebudayaan tinggi Nusantara yang bersalut adab, pekerti dan akhlaknya.

Realiti ini merupakan satu hakikat sama seperti yang ditegaskan oleh Ibn Khaldun bahawa kejayaan sesebuah tamadun diukur berasaskan penguasaan mereka kepada Umran ataupun ilmu pengetahuan. Umran adalah peringkat terakhir yang membawa sesebuah tamadun itu kepada destinasi kejayaan dan kegemilangan. 

Sesungguhnya Nusantara pernah mencapai kejayaan ini pada suatu masa yang lalu. Namun kejayaannya hampir tidak kelihatan bersinar dan dimalapi oleh sirna dek berlakunya rempuhan gerakan penjajahan kolonialisme di Nusantara.

Jika kita melihat kembali kepada sejarah kejayaan kerajaan Abbasiyyah di Baghdad pada zaman pertengahan Islam yang lampau. Kita akan mendapati bahawa kejayaan mereka mencapai tahap Umran atau keilmuan adalah kerana didokong dan dinaungi oleh kekuatan politik kerajaan Abbasiyyah. Para Khalifahnya menggalakkan aktiviti keilmuan dengan mengasaskan ‘Baitul Hikmah’ atau House of Wisdom dalam bidang agama, falsafah, perubatan, matematik, sains dan teknologi secara sistematik. Para ilmuan dilahir untuk menguasai dua cabang ilmu secara komprehensif iaitu ilmu naqli (agama) dan ilmu aqli (sains). Paduan kedua-dua cabang ilmu ini menjadikan para ilmuan begitu dinamik dan luas horizon pemikirannya serta menjaya mencipta inovasi dan sentiasa kehadapan dalam penciptaan ilmu yang baharu.

Kesannya, tamadun Abbasiyyah berabad lamanya menikmati pencapaian tamadun dalam bidang-bidang tersebut secara holistik. Maka dunia kesarjanaan mula mengenali ketokohan al-Khawarizmi, al-Biruni, al-Farabi dan Ibn Sina sebagai sarjana Islam yang dilahirkan oleh proses peradaban Abbasiyyah.  

Kini rantau Nusantara telah lama bebas dari kolonialisme penjajahan Barat. Lebih menarik lagi, rantau ini tenang dan tidak diselaputi pergolakan politik berterusan seperti yang berlaku di Timur Tengah dan Dunia Arab. Oleh yang demikian, umat Islam di Nusantara perlu merebut peluang untuk muncul sebagai rantau yang kondusif bagi membangunkan tradisi Umran atau keilmuan. Memenuhi hasrat dan aspirasi tersebut, para ilmuan dan ulama dari Nusantara pada hari ini perlu ke depan bagi mempelopori gagasan agenda besar untuk menjadikan rantau ini sebagai ‘The Region of Wisdom’. Tradisi pondok dan pesantren yang ada perlu digali dan dicari resepi terbaik untuk dihidupkan dengan acuan seimbang ilmu naqli dan aqli.

Sesungguhnya kejayaan Abbasiyyah membangunkan tradisi ilmu di Baitul Hikmah telah diikuti dan dijadikan suri teladan secara bijaksana oleh tamadun Barat. Maka pada hari ini kita melihat bagaimana peradaban Barat muncul sebagai rujukan kepada dunia keilmuan dan kesarjanaan. Tradisi Oxford, Harvard, Cambridge dan Yale umpamanya adalah satu manifestasi kejayaan Barat membangunkan tamadun mereka hasil usaha gigih mereka menuruti apa yang telah dilakukan oleh tamadun Islam pada masa lalu.

Oleh yang demikian, Nusantara perlu mengambil iktibar kepada apa yang telah berjaya dilakukan oleh Tamadun Barat. Kita selamanya tidak boleh berpeluk tubuh untuk merujuk kepada Barat. Tetapi kita perlu bermula untuk menggerakkan peradaban dan tamadun Nusantara supaya pada suatu hari nanti kita pula yang akan dirujuk oleh dunia kesarjanaan dan kemanusiaan. 

Saya berharap agar Nadwah Ulama Nusantara ke-8 pada kali ini dapat mencetuskan idea dan gagasan terkini yang dapat disenergikan bagi memperkasakan ummah secara keseluruhannya. Ummah di Nusantara perlu menguasai bidang-bidang utama yang signifikan seperti industri halal, kewangan Islam, waqaf, digitalisasi ummah, sains dan teknologi yang mampu melonjakkan masa depan Nusantara sebagai rantau keilmuan. Justeru, nadwah seperti ini perlu segera mengorak langkah ke hadapan untuk menjadi wadah dan forum utama di peringkat Nusantara bagi mencapai gagasan agenda ‘The region of wisdom’.

Mewakili pihak Kerajaan Negeri Sarawak saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada jawatankuasa penganjuran Nadwah Ulama Nusantara ke-8 bagi tahun 2018 atas kejayaan penganjuran kali ini. Semoga semua usaha kita ini beroleh rahmat  dari Allah S.W.T.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Nadwah Ulama Nusantara ke-8. Sekian, terima kasih.

Speeches By: YAB DATUK PATINGGI (DR) ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG